KUALA LUMPUR — Pelakon, Meerqeen menganggap kemenangan sesebuah anugerah bukan ukuran kejayaan seseorang anak seni berbanding penerimaan dan sokongan peminat.
Meerqeen berkata, dia lebih mengidamkan untuk memenangi trofi Anugerah Oscar yang disifatkan lebih ‘legit’ berbanding kemenangan yang pernah dimilikinya.
“Sejujurnya saya tidak pernah mengharapkan apa-apa anugerah pun sebab pencapaian saya bukan pada trofi, pencapaian saya apabila nama saya ada dalam hati peminat.
“Kalau dapat, Alhamdulillah. Jika sebaliknya saya teruskan hidup seperti biasa sebab menang trofi tiada perkara istimewa pun yang jadi dalam diri saya.
“Saya hanya idamkan trofi Oscar, itu impian saya. Saya fikir anugerah itu sahaja yang paling ‘legit’ pun. Mungkin kedengaran kelakar tetapi saya percaya kalau saya kerja keras, tiada yang mustahil untuk genggam trofi tersebut,” katanya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Meerqeen ketika ditemui sesi temu bual pelakon Uncle Bos Mama di sini, baru-baru ini.
Meerqeen berpendapat, pencapaiannya bukanlah terletak pada trofi semata-mata memandangkan dia sudah menerima pelbagai tawaran sebelum memenangi anugerah lagi.
“Saya beritahu peminat untuk tidak mengundi saya sekiranya tercalon dekat mana-mana anugerah. Bagi saya, tidak mengapa saya tidak dapat semua itu asalkan mereka dapat layanan sepenuhnya daripada saya sebagai artis yang mereka minat.
“Mahu kata untuk lebih banyak tawaran mahupun ‘endorsement’, saya sudah lama dapat semua itu sebelum menang anugerah lagi.
“Semua orang boleh dapat itu. Jadi, menang trofi bukanlah berbeza pun. Mungkin itu satu pencapaian tetapi bagi saya tidak menang pun tidak mengapa asalkan saya ada tempat dalam industri seni tanah air,” jelasnya.
Untuk info, populariti Meerqeen mula meningkat selepas membintangi drama bersiri TV3, Melur Untuk Firdaus gandingan bersama pelakon Anna Jobling. -UTUSAN