MCMC belum terima aduan video parodi kaitkan GISBH

MCMC belum terima aduan video parodi kaitkan GISBH

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menerima sebarang aduan mengenai kandungan membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk video dijadikan parodi oleh netizen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC telah meneliti perkara itu, namun sedia mengambil tindakan lanjut jika mendapat arahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, buat masa ini, MCMC tidak memaklumkan kepadanya mengenai apa-apa tindakan yang boleh diambil terhadap apa-apa kandungan berkait dengan isu GISBH.

“MCMC akan menurunkan kandungan atau mengarahkan apa-apa tindakan kepada platform media sosial jika menerima arahan daripada PDRM,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, beliau sedia maklum mengenai video dikaitkan dengan pertubuhan itu termasuk lagu pertubuhan dan parodi yang dicipta netizen.

Fahmi berkata, beliau juga mengakui ada sekurang-kurangnya tujuh atau lapan versi lagu yang diparodikan dan sudah sampai ke ‘telinga’ beliau.

“Ada versi koir, rock dan pelbagai versi lain. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia ini sangat kreatif,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, SKMM giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.

Lagu nyanyian ahli pertubuhan terbabit tular di media sosial ketika ini dan kemudian diparodikan pelbagai pengguna TikTok, malah turut diolah dalam pelbagai genre sehingga menjadi siulan orang ramai atau ‘earworm’.

Earworm adalah fenomena di mana terdengar satu lirik yang kerap berulang-ulang dalam fikiran sehingga susah untuk dihilangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN