MCCBCHST jelas tunjuk sikap Islamofobia - Takiyuddin 

MCCBCHST jelas tunjuk sikap Islamofobia – Takiyuddin 

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menggesa Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) supaya menarik balik kenyataan yang membantah penempatan pegawai Islam di semua jabatan kerajaan. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MCCBCHST berselindung di sebalik tafsiran undang-undang yang tersasar, malah mahu menjadi hakim dan pendakwa untuk menentukan amalan orang Islam yang tidak berkaitan dengan kedudukannya.

Katanya, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoal kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Pas terkilan dan kecewa atas sikap pendirian mereka yang sengaja menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

“Rujukan dan tafsiran sumbang undang undang dikemukakan mereka hanya topeng untuk menyembunyikan wajah dan niat sebenar yang lebih gelap dan berbahaya.

“Naratif sumbang dan berbahaya MCCBCHST bukan sahaja dibuat tanpa bukti, malah timbul sebaik sahaja kita menyambut Hari Kebangsaan ke-67,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, akhbar tempatan melaporkan, MCCBCHST membantah penempatan pegawai agama Islam di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam. 

Kata mereka, tindakan itu berpotensi menjejaskan jaminan  Perlembagaan Persekutuan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13 yang juga membentuk struktur asas perlembagaan.

Kenyataan MCCBCHST ditandatangani bersama oleh Presidennya, Tan Hoe Chieow dan Naib-Naib Presidennya, Julian Leow, Chuan Yuan, Ganesh Babu Rao serta Sardar Jagir Singh.

Kumpulan berbilang agama itu menyebut Perkara 4(1) memperuntukkan “perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Persekutuan….”

“Ini bermakna sebarang undang-undang yang diisytihar atau dasar yang diputuskan mestilah selaras dan intra virus perlembagaan. 

“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Islam adalah agama persekutuan… yang ditafsir oleh mahkamah tertinggi sebagai ‘ritual dan upacara’ Islam.

“Penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah dalam ruang awam yang ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

“Pencerobohan dalam ruang awam ini mungkin tidak berperlembagaan kerana ia boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia,” kata kumpulan itu.

Kata Takiyuddin pula, MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobia untuk menggambarkan langkah dan usaha menambah baik kedudukan dan amalan Islam merupakan ‘ancaman’ terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam. 

“Mereka mendakwa langkah dan usaha ini bertentangan dengan jaminan hak asasi untuk orang bukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tanpa bukti yang jelas bahawa pelanggaran hak ini telah atau akan berlaku, Pas percaya sikap serta pendirian MCCBCHST hanyalah andaian dan sentimen melulu semata-mata yang tidak boleh dipertahan sama sekali. 

“Pendirian MCCBCHST mempunyai kesan serius, malah merupakan cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama dengan bebas, hubungan baik dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN