MBPP terima 20 laporan pokok tumbang akibat hujan lebat, angin kencang

MBPP terima 20 laporan pokok tumbang akibat hujan lebat, angin kencang

DUA kakitangan MBPP sedang membersihkan jalan susulan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang di George Town, Pulau Pinang sejak tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima kira-kira 20 laporan berkaitan kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku di beberapa lokasi di sini sejak tengah malam tadi.

Jurucakap MBPP berkata, laporan tersebut diterima sejak pukul 1 pagi hingga 7 pagi tadi dan kesemuanya telah disalurkan kepada pegawai yang bertugas di lapangan untuk tindakan lanjut.

“Antara kawasan yang terlibat ialah di kawasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran persimpangan Kondominium N Park, di hadapan Stesen Minyak Petron Jalan Sultan Azlan Shah, Relau, Batu Maung, Persiaran Bukit Jambul, Solok Bukit Jambul dan Jalan Sungai Dua.

“Turut terkesan dengan kejadian pokok tumbang ialah di Jalan Tun Dr Awang Markas Tentera Bayan Lepas, Jalan Lembah Permai, Jalan Residensi, Bulatan Besar Bayan Baru, Cangkat Minden Jalan 1 Gelugor, Kolej Vokasional Batu Lanchang, Jalan Bukit Balik Pulau, Jalan Bukit Gambir dan Lintang Sungai Tiram,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua pokok tumbang di 20 lokasi tersebut telah diambil tindakan oleh anggota Skuad Pantas MBPP tanpa henti sehingga ia selesai dan kawasan tersebut juga kini selamat untuk dilalui atau digunakan orang awam.

“Setakat ini, hanya Lintang Sungai Tiram iaitu berhadapan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Heng Ee belum selesai (kerja pembersihan) manakala di semua lokasi lain yang dilaporkan kepada MBPP, kerja pembersihan telah selesai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN