MBPP tebang 54 pokok berisiko: Langkah berjaga-jaga hadapi cuaca ekstrem

MBPP tebang 54 pokok berisiko: Langkah berjaga-jaga hadapi cuaca ekstrem

DUA kakitangan MBPP menebang pokok yang tumbang hingga mengganggi lalu lintas di George Town, Pulau Pinang Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menebang 54 batang pokok di lima jalan di sekitar pusat bandar di sini sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi fenomena cuaca ekstrem termasuk ribut kuat pada masa ini.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, ketika ini, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 1,321 batang pokok di kelima-lima lokasi iaitu di Jalan Kelawai, Jalan Burma, Jalan Utama, Jalan Perak serta Jalan Macalister dan mendapati terdapat 54 daripada pokok itu perlu ditebang.

“Pokok-pokok yang akan ditebang ini berusia sekitar 60 hingga 80 tahun dan terdiri daripada spesis pokok angsana dan pokok hujan-hujan.

“Ia akan ditebang kerana terdapat pereputan dan jangkitan pada struktur batang pokok. Selain itu, pokok-pokok tersebut juga telah didapati mengalami kemerosotan pertumbuhan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan Pulau Pinang telah menerima hampir 200 aduan berhubung pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu.

Menurut Rajendran, kerja-kerja untuk menebang pokok tersebut telah dibincang di dalam mesyuarat dengan pihak berkenaan pada Mei lalu dan ia telah diluluskan untuk proses penebangan.

“Kerja-kerja penebangan pokokitu akan bermula hujung tahun ini dan ia dijangka selesai menjelang pertengahan Oktober depan. Kesemua pokok yang ditebang juga akan ditanam semula,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak MBPP telah menebang 86 batang pokok yang tidak sihat di kawasan simpanan jalan antara bulan Januari hingga Ogos lalu.

“MBPP juga telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap 13,995 batang pokok di bahu jalan dengan kos sebanyak RM 4.3 juta bagi tahun 2024.

“Bagi menganalisis keadaan kesihatan pokok, pakar-pakar aboris telah dilantik oleh MBPP dan MBPP juga telah mendapat kerjasama dari Institut Jurutera Malaysia bagi memberi khidmat runding dalam pengurusan struktur dan kestabilan pokok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN