MBDK nafi kucing di Taman Kucing Klang terabai - Utusan Malaysia

MBDK nafi kucing di Taman Kucing Klang terabai

Taman Kucing Klang
NORAINI Roslan (kiri) melihat salah seekor kucing dekat Taman Kucing Klang di Bandar Baru Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiada pengabaian atau penindasan terhadap kucing berlaku di Taman Kucing Klang, di sini seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Datuk Bandar Klang, Datuk Noraini Roslan berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang memandang serius penjagaan haiwan domestik itu selain kawasannya, namun berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan.

Menurutnya beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh MBDK dan akan dibantu pihak Sime Darby Property dalam masa terdekat bagi keselesaan kucing yang ada di dalam taman itu.

“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.

“Malahan, ada kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar dan hanya seekor sahaja yang mati (itu pun diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby pagi tadi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, tegasnya, MBDK akan memasang jaring bagi mengelak keadaan panas di taman tersebut.

Jelas Noraini lagi, Sime Darby juga akan membina anjung bagi keselesaan kucing selain membantu memberi perhatian kepada penjagaan serta pemakanan haiwan berkenaan.

“Kucing bersifat territorial di mana ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai perkara tanpa sebarang sekatan dan ia akan dilepaskan pada waktu pagi.

“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing Klang ini begitu positif dan membanggakan,” katanya.

Untuk rekod, Taman Kucing Klang ini dibina oleh Sime Darby Property tetapi telah diserahkan kepada MBDK baru-baru ini.

Operasi dan penyelenggaraannya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kesihatan MBDK.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menggesa pihak yang bertanggungjawab terhadap taman kucing itu untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan yang menyatakan terdapat pengabaian kepada kebajikan haiwan berkenaan.

Ia berikutan video tular berdurasi lebih seminit yang memaparkan kekecewaan seorang pengunjung berhubung keadaan kucing di taman itu yang didakwanya tidak terjaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya