Mayat remaja hanyut akibat banjir ditemukan, ibu masih hilang - Utusan Malaysia

Mayat remaja hanyut akibat banjir ditemukan, ibu masih hilang

MAYAT Muhammad Rosman Rohadi ditemui tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang di Padang Terap. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Mayat remaja lelaki yang dihanyutkan arus deras bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan, di sini pagi tadi ditemukan pada pukul 5.25 petang ini.

Mayat mangsa, Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dijumpai pasukan penyelamat di dasar air dan dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 150 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras.

“Operasi mencari seorang lagi mangsa yang merupakan ibu kepada remaja terbabit kini giat dijalankan di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kata beliau, operasi sedang giat dijalankan oleh anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Terdahulu, sepasang selipar dan sebelah selipar disyaki milik dua beranak itu ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi, tidak jauh dari tempat mangsa dikhuatiri hilang.

Susulan penemuan itu, pasukan penyelamat memfokuskan pencarian di kawasan tersebut.

Pagi tadi, akhbar ini melaporkan dua beranak iaitu Salmah Mat Zain, 46, dan Muhammad Rosman hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

Mereka dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.29 pagi berhubung kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya