PADANG TERAP: Mayat wanita yang hanyut dibawa arus deras bersama anaknya ditemukan pada pukul 7.45 pagi ini dalam kejadian di Kampung Tanjung, di sini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat Salmah Mat Zain, 46, dijumpai 50 meter dari lokasi mayat anaknya ditemukan.
Pada pukul 5.25 petang semalam, mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dijumpai pasukan penyelamat di dasar air dan dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit.
Muhammad Rosman ditemui kira-kira 150 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras bersama ibunya ketika cuba mengharungi banjir untuk pulang ke rumah di kampung itu.
Terdahulu, sepasang selipar dan sebelah selipar disyaki milik dua beranak itu ditemukan kira-kira pukul 3 petang semalam, tidak jauh dari tempat mereka dikhuatiri hilang.
Susulan penemuan itu, pasukan penyelamat memfokuskan pencarian di kawasan tersebut.
Dalam tragedi pukul 8.15 pagi semalam, dua beranak itu dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan air Sungai Padang Terap berikutan hujan lebat, malam kelmarin. – UTUSAN