Mawi tak ambil hati dikatakan sebar cerita dongeng - Utusan Malaysia

Mawi tak ambil hati dikatakan sebar cerita dongeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mawi, memaklumkan tidak terasa hati apabila ada netizen yang mempersendakan dan menganggap pengalaman berdepan sakaratul maut yang dikongsikannya sebelum ini sebagai rekaan.

Pemilik nama sebenar Asmawi Ani itu berkata, perkongsian itu dibuat untuk memberi iktibar, justeru masyarakat bebas untuk menerima atau menolak cerita tersebut.

“Abaikan atau jangan dengar kalau anggap pengalaman saya itu sebagai cerita dongeng. Itu permintaan saya setiap kali sebelum saya kongsikannya kepada masyarakat. Kepada yang percaya, saya alu-alukan untuk ambil iktibar daripadanya.

“Saya hanya mahu sampaikan sahaja. Yang beri kefahaman, bukan saya. Bahkan, selepas melalui pengalaman itu, saya sudah berjanji, kalau dipanjangkan usia, saya mahu kongsikannya.

“Jadi terpulang, sama ada mahu percaya atau tidak. Saya sekadar menyampaikan,” katanya sewaktu sidang akhbar konsert Tsumawi Mawi World Live in KL, baru-baru ini.

Mawi sebelum ini beberapa kali berkongsi pengalaman melalui saat kematian sebelum hidup semula apabila disahkan meninggal dunia selepas hilang denyutan nadi selama 15 minit.

Perkongsian itu menuai pelbagai reaksi termasuk daripada segelintir pihak yang beranggapan cerita itu hanya rekaan penyanyi tersebut.

Mengulas mengenai konsert yang bakal diadakan Januari tahun depan itu, penyanyi yang mendapat julukan sebagai ‘Raja SMS’ itu memaklumkan konsert solo keduanya itu dianjurkan untuk mengubat rindu peminat yang sekian lama menantikan penyanyi tersebut membuat persembahan atas pentas berskala besar.

“Mereka yang mengundi saya sewaktu saya bertanding dalam Akademi Fantasia musim ke-3 adalah dalam kalangan yang berusia. Ramai antara mereka yang sudah meninggal dunia.

“Apa pun, untuk konsert ini, saya berserah. Mungkin yang akan datang menonton nanti adalah mereka yang mengikuti perjalanan seni dan mendengar lagu-lagu nyanyian saya.

“Sebelum ini, banyak pelawaan membuat konsert yang saya tolak. Tapi, kali ini saya terbuka hati dan merasakan sudah sampai waktunya untuk itu,” kongsinya lagi.

Konsert Tsumawi Mawi World Live in KL bakal dipentaskan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya