SIK: Seorang warga emas meninggal dunia selepas dipercayai disengat tebuan ketika memanjat pokok dokong di Kampung Jering di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, terdapat kira-kira 120 kesan sengatan tebuan pada badan mangsa, Ahmad Dahaman, 72, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sik pada pukul 9.50 malam.
Isterinya, Juma Azira Azmi, 42, berkata, ketika kejadian arwah suaminya bersama anak ketiganya, Mohamad Azhar Mohd. Zaidi, 15, diserang tebuan ketika menuruni pokok yang berketinggian kira-kira dua meter.
“Beberapa hari lalu suami teringin nak makan buah dokong yang ditanam di kebunnya. Mereka berdua panjat pokok dokong yang bersebelahan antara satu sama lain. Baldi anak penuh dahulu dan dia turun ke bawah manakala suami masih mengutip buah dokong.
“Ketika suami hendak turun ke bawah, tiba-tiba dahan pokok yang dipautnya melibas sarang tebuan. Sebelum itu, kami lihat seekor dua tebuan sedang berterbangan di bawah pokok dan suami kata mungkin ia bersarang di tempat lain dan tidak mengesyaki sarangnya berada di atas pokok dipanjatnya,” katanya.
Ujarnya, dia segera memberi bantuan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) setelah mendapati suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri selain tangannya mulai kebiru-biruan manakala hidung dan telinga berdarah.
“Doktor cuba merawatnya, namun pada pukul 9.50 malam dia meminta kami bersedia menerima sebarang kemungkinan kerana kecederaan suami yang terdapat lebih 120 sengatan itu sememangnya terlalu serius dan tidak dapat diselamatkan.
“Akhirnya suami meninggal dunia dan jenazah dikebumikan pada pukul 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jering,” katanya.