Matahari melintasi tepat Masjid Putra awal sehari 15 September

Matahari melintasi tepat Masjid Putra awal sehari 15 September

TANGKAP layar infografik daripada portal falak global, SunCalc yang menunjukkan situasi matahari melintasi tepat Masjid Putra di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peminat astronomi yang ingin melihat Lahaina Noon kali terakhir bagi tahun ini di pekarangan Masjid Putra dijangka berlaku awal sehari berbanding kelazimannya pada 16 September.

Pakar falak terkenal tanah air, Datuk Azhari Mohamed berkata, peristiwa hari tanpa bayang di premis itu bakal terjadi 15 September nanti.

“Secara kelazimannya, kejadian tahunan ini dihitung berlaku pada 16 September, tetapi kerana 2024 pula kebetulan merupakan tahun lompat maka ia muncul cepat sehari,” katanya.

Lahaina Noon terjadi dua kali setahun apabila pergerakan matahari atau zenith melintasi tepat di sesuatu kawasan mengakibatkan tiada bayang-bayang kelihatan di situ.

Fenomena itu turut akan terjadi di beberapa lokasi lain antaranya Masjid Negara, Kuala Lumpur (14 September) dan Masjid Abu Bakar, Johor Bahru (19 September).

Ia diumpamakan ekuinoks yang hanya berlaku tepat di Khatulistiwa iaitu garisan lintang 0 darjah, namun Lahaina Noon pula lebih luas liputannya antara garisan Sartan dan Jadi.

Mengulas lanjut, Azhari yang juga pakar rujukan falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, kali ini ia berlaku pukul 1.09 tengah hari iaitu dua minit sebelum tiba azan Zohor.

“Ketika Lahaina Noon, imej bayang-bayang seluruh dunia menghala tepat ke arah dataran Masjid Putra yang merupakan titik perjalanan darat 0 kilometer bagi Putrajaya,” katanya.

Sewaktu kejadian ini ujar beliau, tempoh siang dan malam hampir sama dengan durasi cahaya matahari direkodkan 12 jam lapan minit lapan saat dan sudut condong 89.78 darjah.

Berdasarkan rekod sejarah, peristiwa istimewa ini antara punca masjid tersebut menjadi bangunan pertama dibina 30 tahun lepas di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu yang mana kali pertama fenomena itu terjadi ialah pukul 1.18 tengah hari 28 Mac lalu.

Garisan Sartan dan Jadi yang secara geografi masing-masing terletak di latitud 23 darjah Utara dan 23 darjah Selatan itu, merupakan kawasan had lingkungan maksimum zenith.

“Fenomena ini juga terjadi di Mekah, Arab Saudi apabila matahari melintasi tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram yang dirujuk saintis falak sebagai Istiwa A’dzam,” kata Azhari.

Semasa peristiwa ini, umat Islam di bahagian siang dunia boleh menyemak kedudukan arah kiblat dengan melihat sahaja garis bayang-bayang lurus menuju ke tanah suci itu yang kelazimannya berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN