Maszlee kongsi maklumat berkaitan 1BestariNet - Azam Baki

Maszlee kongsi maklumat berkaitan 1BestariNet – Azam Baki

Tan Sri Azam Baki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mempunyai maklumat bagi membantu siasatan pihaknya berkaitan 1BestariNet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau sendiri mengarahkan pegawai penyiasatnya untuk berjumpa Maszlee kerana percaya bekas menteri itu mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut beliau, antara perkara yang ingin dilihat adalah berkaitan servis data, perolehan dan sebagainya.

“Kita juga bertanya kepada beliau (Maszlee) kenapa mempunyai satu pandangan menentang supaya kontrak ini disambung dan sebagainya.

“Jadi ada perkara lain yang saya tidak boleh dedahkan, tetapi lebih kurang itu antara skop yang kita tanyakan beliau dan ada beberapa maklumat lagi yang saya tidak boleh share (kongsikan) di sini yang kita peroleh daripada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.
Azam berkata, segala maklumat yang diperolehi hasil pertemuan dengan Maszlee itu akan diambil tindakan lanjut oleh pihak SPRM.

Semalam, Azam mengesahkan bahawa pegawai penyiasat SPRM berjumpa dengan Maszlee bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan projek 1BestariNet.

Pada 6 September lalu, Maszlee dilaporkan mendedahkan bahawa isu 1BestariNet menjadi antara faktor yang membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Maszlee mendakwa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya berbuat demikian, di atas permintaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azam turut mengesahkan terdapat beberapa dokumen diserahkan Mazlee namun enggan mendedahkan butirannya.

“Setakat ini belum ada tangkapan dan kita perlu menyiasat lebih lanjut. Kes ini seperti saya pernah sebut di mana antara area (kawasan) ataupun sektor yang kita telah kenal pasti ialah tentang servis data yang diberikan kepada 8,000 sekolah.

“Kita sudah pun mengenal pasti sekolah dan area tertentu yang mana kita jangka berkemungkinan tidak dibekalkan data tetapi dibuat tuntutan (bayaran). Jika benar ia berlaku tuntutan palsu, ia menjadi satu kesalahan mengikut akta kita (Akta SPRM) sehingga bayaran dibuat,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan menjadi fokus siasatan pihak SPRM ketika ini untuk memastikan sama ada benar berlaku tuntutan bayaran palsu atau sebaliknya.

“Belum lagi (ada sekolah dikenal pasti buat tuntutan palsu). Kita akan mulakan tidak lama lagi di mana sekolah berkenaan akan dilawati oleh pegawai penyiasat dengan berbekalkan dokumen tuntutan yang tertentu.

“Kita kena lihat kepada prasarana dan data yang dibekalkan pada ketika itu, betul ada atau sebaliknya. Banyak maklumat yang kita peroleh sebelum ini untuk disahkan daripada pihak sekolah berkenaan.

“Kita tidak akan pergi ke sekolah sampai 8,000 tapi kita akan ambil sampel dan wilayah yang tertentu untuk kita siasat dan kenal pasti apa masalahnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, pada 4 September lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN