Masuk penjara pengalaman yang pahit, gelap hidup saya pada saat itu - Da’i Syed - Utusan Malaysia

Masuk penjara pengalaman yang pahit, gelap hidup saya pada saat itu – Da’i Syed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Masuk penjara merupakan pengalaman yang sangat pahit. Gelap hidup saya pada saat itu.”

Demikian kata pendakwah selebriti, Da’i Syed yang berkongsi pengalamannya ditahan di penjara Kajang sejak 30 Ogos lalu selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Syed yang kini berimej botak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi sesi sebutan semula pengurusan kes di sini, hari ini, berkongsi dia hanya sempat meluangkan masa dengan anak perempuannya, Sharifah Fatma Nour Jamalullail selama 16 hari sahaja pada hari dirinya dijatuhkan hukuman.

“Ketika itu, saya baru luangkan masa bersama anak selama 16 hari. Takdir Allah, petang itu saya berniat nak cukur rambut anak saya tapi rambut saya yang dicukur. Allah sebaik-baik perancang,” katanya.

Bagaimanapun, Syed sempat meluahkan rasa syukur dirinya dilayan dengan baik dan sempat menyampaikan dakwah kepada banduan di penjara Kajang sepanjang dalam tahanan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya sepanjang dalam penjara baik, saya makan pun cukup. Cuma hari ini saya tak sihat sebab demam dan ada ulcer di dalam mulut.

“Layanan dalam penjara pun sangat baik. Saya bersyukur dapat menyampaikan dakwah ajar orang mengaji dan sambut Maulidur Rasul di dalam sana,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Ditanyakan mengenai kerjayanya selepas dijatuhkan hukuman, pendakwah itu mengakui kariernya terjejas namun tidak berputus asa untuk membinanya semula demi menyara keluarganya.

“Saya akan cuba bangunkan semula kerjaya saya dan lakukan apa yang boleh untuk menyara keluarga,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 November depan sebagai tarikh pengurusan kes dakwaan merogol seorang wanita pada tahun 2020.

Pada 20 September lalu, Da’i Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas 21 hari berada dalam penjara menjalani hukuman atas pertuduhan merogol seorang wanita.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Pada 30 Ogos lalu, Da’i Syed telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya