SABAK BERNAM: Pihak pengurusan dan jemaah Masjid Ubudiah Kampung Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini, resah apabila kawasan itu diancam hakisan tebing parit sejak 11 tahun lalu.
Hakisan berkenaan dilihat semakin teruk dan berisiko merosakkan bahagian tandas wanita dan dapur masjid apabila kedudukannya kurang lima meter dari tebing parit itu.
Bilal masjid itu, Mohamad Ihsan Dollah berkata, keadaan itu membahayakan keselamatan jemaah berikutan hakisan sepanjang 300 meter di kiri dan kanan parit semakin melebar.
“Ia mengakibatkan ruang tempat melapah lembu korban sebelum ini tenggelam dan sebatang pokok kelapa turut tumbang. Kami bimbang hakisan itu melarat ke tandas dan dapur memasak sekali gus mengundang risiko bahaya jika tiada tindakan segera diambil,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelasnya, keadaan masjid berusia lebih 70 tahun itu juga seolah-olah berada di ‘pulau’ kerana dikelilingi parit utama yang berhubung dengan beberapa kampung kampung di kawasan berkenaan.
“Air dari kampung berdekatan akan mengalir ke parit utama di depan masjid ini sebelum menuju ke Kunci Air Bagan Nakhoda Omar. Keadaan bertambah teruk pada musim hujan dan fenomena air pasang besar yang menyebabkan hakisan bertambah serius,” ujarnya.
Bagi Timbalan Nazir masjid itu, Roslan Mohd. Yusof berkata, isu berkenaan sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib bagi tindakan lanjut.
“Namun, ia melibatkan kos baik pulih tebing parit yang amat tinggi dan peruntukan tidak mencukupi. Justeru, jawatankuasa masjid membuat ketetapan untuk mengumpul dana infak berjumlah RM100,000 bagi pelaksanaan kerja berkenaan,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya bercadang menyediakan kos bagi pembinaan benteng konkrit pada tebing parit bagi mengelak hakisan berterusan.
Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Roslan di talian 011-27815487 atau Nazir masjid itu, Kamaruzzaman Samijo menerusi 019-6313094.
Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam di 12056010003447 atas nama Masjid Ubudiah Bagan Nakhoda Omar. – UTUSAN