SHAH ALAM: Pelakon, Nur Fazura menyerahkan urusan rumah tangganya dengan Fattah Amin kepada takdir meskipun sedar banyak mata sedang menantikan perkembangan isu ini.
Tidak dapat menyatakan sama ada dia akan berdamai atau tidak dengan Fattah, Fazura bagaimanapun mengharapkan yang terbaik demi kebahagiaan kedua-dua belah pihak.
“Sebagai seorang isteri dan ibu sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik, tapi saya serahkan kepada Allah kerana itu yang terbaik untuk saya,” katanya.
Mengulas mengenai apakah dia masih menyayangi suaminya itu, Fazura memilih untuk mengunci mulut mengenai perkara itu.
“Saya tak boleh nak komen. Saya minta maaf,” katanya.
Dalam masa sama, Fazura memaklumkan dia berada dalam keadaan baik walaupun berdepan kemelut rumah tangga.
“Kalau tanya perasaan saya ketika ini, saya tenang sahaja, Alhamdulillah.
“Apa yang berlaku ini bukanlah satu yang dijangka. Ini semua ketentuan Allah. Saya terima seadanya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini semalam menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu, iaitu pada 7 Oktober ini. – UTUSAN