KOTA KINABALU: Masih terlalu awal untuk meramalkan rakan kongsi yang akan menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau tidak ingin meramalkan apa juga senario yang bakal berlaku kerana situasi politik di Sabah agak berlainan dengan Semenanjung Malaysia.
Biarpun di peringkat Persekutuan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah rakan kerjasama namun, di peringkat negeri Sabah kedua-dua gabungan itu berlawan sesama sendiri.
“Di sini, dua-dua pihak yang berlawan sama-sama dalam kerajaan Perpaduan. Jadi, apabila bercakap soal rakan kongsi, dua-dua pun duduk dalam kerajaan Perpaduan. Jadi, proses ini masih berjalan dan pada akhirnya BN akan mencari rakan kongsi.
“Jadi, kita akan sentiasa memantau perkembangan politik tanah air sebab dalam konteks Sabah dan Sarawak ada kelainan sedikit,” katanya selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah, hari ini.
Ka Siong tidak menolak kemungkinan BN akan bertanding terlebih dahulu dan apabila memenangi kerusi barulah mereka akan memutuskan rakan kongsi.
Namun, pada ketika ini terlalu awal untuk meramalkan apa-apa. Sekarang yang penting adalah buat kerja dan kemudian memenangi banyak kerusi.
Menurutnya, MCA berhasrat untuk bertanding di Sabah menjelang PRN17 namun, perkara itu masih dalam perbincangan secara dalaman dengan UMNO
“Persediaan memang sudah ada dan kita telah bersiap sedia. Kita tak mahu ketinggalan, kita mahu sama-sama berjuang, baru ada semangat. Beri peluang kepada kita sama-sama (bertanding) seperti UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),” katanya.
Ka Siong berkata, beliau kagum melihat kesetiaan ahli MCA di Sabah. Biarpun ramai yang lompat selepas kejatuhan BN pada pilihan raya lalu namun, tidak ramai ahli MCA yang bertindak keluar parti.
Sehingga kini, MCA tidak ketandusan pemimpin dan MCA akan teruskan perjuangan. Pada masa ini, MCA kekal mempunyai 25 bahagian di Sabah dengan keahlian kira-kira 40,000 orang. – UTUSAN