Masalah selut di Teluk Kumbar adalah masalah bermusim

Masalah selut di Teluk Kumbar adalah masalah bermusim

HARRIS Abdullah (dua dari kiri) bersama rakan nelayannya yang lain ketika mengadakan sidang akhbar mengenai masalah selut yang didakwa mereka sebagai masalah bermusim di Teluk Kumbar, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Sekumpulan nelayan di Teluk Kumbar di sini mendakwa bahawa masalah selut di kawasan laut di situ bukan berpunca daripada kerja-kerja penambakan laut yang sedang giat dijalankan bagi projek tambakan projek Penang South Islands (PSI).

Sebaliknya, mereka mendakwa, masalah selut di situ telah wujud berpuluh tahun yang lalu dan ia adalah masalah bermusim di kawasan laut Teluk Kumbar.

Seorang nelayan, Harris Abdullah, 64, berkata, sejak dahulu iaitu apabila musim barat daya tiba sekitar April hingga Oktober, memang akan berlaku masalah selut di kawasan pesisir pantai Teluk Kumbar, namun, ia tidak terlalu teruk seperti yang didakwa.

“Sejak berpuluh tahun dulu, musim selut akan berlaku apabila musim monsun barat daya melanda, ombak akan menjadi kuat dan selut akan cair akibat dipukul ombak.

“Tetapi apabila tiba musim timur laut iaitu sekitar November hingga Mac tidak berlaku masalah selut kerana selut membeku, ombak pun tidak terlalu kuat ketika musim ini jadi selut tidak mencair,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, terdapat sekumpulan nelayan di unit nelayan Sungai Batu mendakwa mereka berdepan masalah besar disebabkan kehadiran selut yang banyak di persisir pantai Sungai Batu.

Nelayan berkenaan mendakwa kehadiran selut yang luar biasa dan tidak dijangka ini telah menyebabkan aktiviti penangkapan ikan terhenti dan menjejaskan punca pendapatan nelayan Sungai Batu, malah mereka turut mendakwa fenomena selut itu mungkin berpunca daripada penambakan laut projek PSI.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, keadaan semula jadi kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang Selatan sememangnya adalah kawasan dataran lumpur.

“Ini turut disahkan semasa penyediaan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan pemantauan garis pantai juga telah dijalankan secara berkala sejak Jun 2023.

“Pada masa yang sama, sesi libat urus yang diadakan oleh pegawai informasi Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bersama beberapa orang nelayan dari kawasan setempat juga mendapati, fenomena semula jadi seperti air pasang besar dan monsun Barat Daya akan menyebabkan gangguan pada kawasan dasar laut yang berlumpur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN