Masalah air Sabah: NGO mohon SPRM siasat syarikat kontraktor

Masalah air Sabah: NGO mohon SPRM siasat syarikat kontraktor

ZULKARNAIN Mahdar bercakap kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikat kontraktor air yang didakwa menjadi punca kepada kemelut air di Sabah.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebanyak tiga dokumen diserahkan pihaknya hari ini kepada SPRM untuk tujuan penelitian berhubung masalah tersebut.

“Wujud tuduhan-tuduhan tertentu yang kita tidak pasti kesahihannya mengenai kontraktor baharu (yang dilantik oleh kerajaan negeri terdahulu), sebab itu kita hadir ke sini (SPRM) untuk buat penyerahan dokumen.

“(Kita) meminta pihak SPRM (siasat) kerana isu ini sudah jadi kepentingan umum, kita difahamkan kontraktor baharu ini ada sesuatu dengan kerajaan (negeri) terdahulu, jadi kita minta (supaya) SPRM dapat menyiasat kontraktor yang baharu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Selain itu, Zulkarnain turut mendakwa bahawa syarikat kontraktor berkenaan didapati gagal untuk menguruskan isu-isu bekalan air yang berlaku di Sabah.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, masalah air di Sabah menjadi bertambah buruk ketika ini susulan tindakan kerajaan sebelum ini menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah.

Menurut Hajiji, penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor yang dilantik oleh kerajaan terdahulu bukan sahaja menyebabkan kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan, malah menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada.

Selasa lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menerusi satu kenyataan berkata, tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuding jari terhadap Parti Warisan yang didakwa punca masalah air semakin teruk, disifatkan satu cubaan untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.

Beliau berkata, jika dilihat selepas Warisan menamatkan kontrak enam syarikat yang menyelenggara 58 loji rawatan air, tiada isu air yang signifikan dilaporkan berlaku di Sabah pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN