PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menamatkan kontrak pengendali makanan di Maktab Rendah Sains Mara di Taiping.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kontraktor itu turut disaman dan akan dikenakan tuntutan rugi melalui mahkamah.
“Tindakan tegas itu dilakukan sebagai iktibar kepada yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial miliknya.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akan mengheret kontraktor dewan selera MRSM Taiping yang bersikap sambil lewa dan mengabaikan kebersihan ke mahkamah.
Tindakan itu dilakukan selepas beliau sendiri menghubungi kontraktor terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun jawapan yang diterima amat mendukacitakan.
Asyraf Wajdi pernah berkongsi rakaman video panggilan telefon dengan wakil pengendali dewan makan itu ketika mengadakan lawatan mengejut di MRSM tersebut.
“Memang pasti saya akan ambil tindakan tegas termasuk memberhentikan kontrak dan tindakan mahkamah pada kontraktor yang ambil sikap sambil lewa hingga mencetuskan risiko kesihatan kepada anak-anak pelajar,” katanya. – UTUSAN