Mangsa banjir raih rezeki tangkap ikan pelbagai saiz - Utusan Malaysia

Mangsa banjir raih rezeki tangkap ikan pelbagai saiz

AZIZAN Ariffin menunjukkan ikan jelawat seberat kira-kira 5kg yang diperolehi di Sungai Anak Bukit di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Di sebalik dugaan banjir yang teruk pada tahun ini, penduduk di Kampung Alor Senjaya, Anak Bukit turut menikmati rezeki apabila pelbagai jenis ikan bersaiz besar dapat diperolehi ketika air bah kini semakin surut.

Tinjauan di Sungai Anak Bukit di kampung itu mendapati, suasana ibarat pesta apabila penduduk menggunakan pelbagai peralatan termasuk sampan, bagi menjala ikan untuk dijadikan hidangan.

Menurut seorang penduduk, Azizan Ariffin, 52, dia mula menyedari kehadiran ikan-ikan itu ketika meninjau kawasan sungai kira-kira pukul 7 pagi ini, bagi meninjau keadaan air.

“Saya maklum kepada rakan-rakan yang sama-sama tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah. Tidak lama kemudian, ramai yang datang membawa besen, baldi, guni, penyauk dan jala untuk tangkap ikan bersama-sama.

“Saya sendiri dapat tangkap ikan jelawat seberat kira-kira lima kilogram (kg) serta banyak ikan lain. Mungkin ikan-ikan ini ‘mabuk’ selepas berlakunya pertembungan antara fenomena air pasang besar dan arus deras baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu rakannya, Mohd. Najmuddin Md. Noor, 35, berkata, selain jelawat, mereka turut memperolehi pelbagai ikan sungai lain seperti baung, kaloi, talapia serta udang galah.

Katanya, ada antara penduduk yang berhasrat untuk membuat pekasam dan bersedekah berikutan jumlahnya yang terlalu banyak.

“Kalau banjir besar berlaku, pelbagai spesis ikan akan timbul di Sungai Anak Bukit yang turut bersambung dengan Sungai Kedah. Penduduk mampu mengutip pelbagai spesis ikan hingga hampir mencecah 50kg hanya untuk tempoh beberapa jam,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd. Anuar Zainol, 54, berkata, fenomena itu memang sering berlaku ketika banjir namun biasanya, tidak akan terjadi untuk tempoh yang lama.

“Biasanya kejadian seperti ini berlaku antara dua ke tiga hari saja kerana ikan mabuk ketika air sungai bercampur air masin. Dalam tempoh inj, memang banyak rezeki kami untuk menangkap ikan-ikan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya