Mangsa banjir perlu patuh jika diarahkan pindah ke PPS - MB Perlis - Utusan Malaysia

Mangsa banjir perlu patuh jika diarahkan pindah ke PPS – MB Perlis

MOHD. Shukri Ramli (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan di salah sebuah rumah terjejas akibat banjir di Kampung Titi Besi, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mangsa banjir di negeri ini yang terjejas dinasihatkan supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya dikehendaki berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah mula diaktifkan

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, langkah itu bagi menjamin keselamatan mangsa terlibat daripada sebarang ancaman bahaya disebabkan oleh situasi banjir tersebut.

Katanya, arahan daripada pihak berkuasa perlu dipatuhi berikutan situasi paras air meningkat pada waktu malam akan menyukarkan tugas pemindahan mangsa.

“Penduduk yang dinasihat untuk pindah kena ikut arahan sebab pertamanya dibimbangi bahaya akibat daripada litar pintas.

“Selain itu, penduduk yang enggan berpindah juga terdedah kepada bahaya ancaman haiwan berbisa seperti ular dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shukri turut berkesempatan meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau dan turun padang ke lokasi rumah terjejas sekitar Kampung Titi Besi, di sini.

Setakat pukul 5 petang hari ini, sebanyak 45 mangsa membabitkan 15 keluarga telah dipindahkan di PPS SK Arau dan SK Sena yang dibuka sejak semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir terlibat.

“Dan kalau banyak lagi bantuan diperlukan, Baitulmal serta kerajaan negeri akan turut membantu. Tabung Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga boleh digunakan untuk disalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar Perlis kali ini dilihat sedikit teruk berbanding pada tahun lalu.

“Jika dilihat daripada ramalan kaji cuaca, angin kencang dan hujan akan melanda sehingga Sabtu, jadi semua rakyat perlu berada dalam keadaan siap sedia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN