Mangsa banjir di Perlis terus meningkat

Mangsa banjir di Perlis terus meningkat

PENDUDUK meredah banjir selepas kediaman mereka mula dinaiki air akibat fenomena air pasang dan hujan lebat di Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hujan yang masih berterusan menyaksikan mangsa banjir di Perlis terus meningkat kepada 152 orang membabitkan 48 keluarga di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Perkembangan tersebut turut menyaksikan dua PPS baru diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Musa, Simpang Empat dan SK Kubang Gajah, Arau.
Di Kuala Perlis, fenomena air pasang turut menyebabkan rumah dan kedai-kedai makan di pesisiran pantai dinaiki air.

Setakat ini, PPS SK Dato Ahmad Musa, Simpang Empat menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga dari Sungai Padang, Simpang Empat, manakala PPS SK Kubang Gajah, Arau pula dibuka bagi menempatkan 42 mangsa daripada 13 keluarga selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan yang melanda negeri ini.

Sementar itu, PPS di SK Arau dan SK Sena yang dibuka sejak semalam tidak menunjukkan sebarang penambahan mangsa apabila kekal masing-masing 33 dan 30 mangsa.

Dalam pada itu, empangan Timah Tasoh masih berada pada paras waspada dengan bacaan 29.49 meter (m) berbanding 29.10 bagi paras normal.

Selain itu, empat sungai utama di Perlis turut menunjukkan trend penurunan apabila Sungai Pelarit, Sungai Arau, Sungai Gial dan Sungai Perlis kembali berada pada paras normal.

Dalam pada itu, polis akan meningkatkan rondaan di premis kediaman kosong yang ditinggalkan mangsa banjir yang berpindah ke PPS.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, rondaan tersebut akan dilakukan bagi mengekang kecurian berikutan mangsa banjir tiada di rumah.

“Rondaan biasanya dilakukan oleh unit kereta perondan dan Unit Rondaan Bermotosikal, namun dalam situasi banjir ini, kita mewujudkan rondaan balai di kawasan terjejas secara berkala. Pihak polis akan mendapatkan data alamat dan lokasi kediaman mangsa banjir yang tinggal di PPS bagi memudahkan penugasan dilakukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN