KANGAR: Jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan setakat pukul 4 petang ini dengan mencatatkan seramai 118 orang daripada 39 keluarga secara keseluruhan.
Jumlah itu menunjukkan trend penurunan berbanding 152 mangsa dari 48 keluarga yang ditempatkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) pada semalam.
Selain itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau juga telah dihentikan operasi pada pukul 7 petang semalam selepas mangsa ditempatkan di sana pulang ke kediamaan masing-masing berikutan keadaan paras air semakin surut.
Buat masa ini, tiga lokasi PPS di negeri ini masih beroperasi meliputi PPS SK Sena, Kangar, PPS SK Dato Ahmad Musa, Simpang Empat, dan PPS SK Kubang Gajah, Arau.
Setakat ini, PPS SK Sena, menempatkan 29 mangsa dari 12 keluarga manakala PPS SK Dato Ahmad Musa pula menempatkan 47 mangsa dari 12 keluarga.
Sementara itu, PPS SK Kubang Gajah juga turut menempatkan seramai 37 mangsa dari 13 keluarga yang terjejas akibat bencana itu.
Sebelum ini, beberapa kawasan sekitar Perlis dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir antaranya seperti Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Alor Setar, Jelempok, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Seberang Tambang, Kampung Tebing Tinggi dan beberapa lagi.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri turut menjalankan operasi pelepasan air Empangan Timah Tasoh melalui Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh (LBB) susulan keadaan hujan lebat berterusan.-UTUSAN