Mangsa banjir di Kedah, Perlis terus meningkat

Mangsa banjir di Kedah, Perlis terus meningkat

MEGAT Asmadi Megat Saidin menunjukkan sebahagian 232 hektar sawah yang tenggelam akibat dilanda banjir di Kampung Padang Luar, Lubuk Batu Jitra semalam. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keadaan terkini banjir di Kedah belum menampakkan tanda-tanda pulih apabila penambahan mangsa terjejas terus berlaku dengan 4,238 orang berlindung di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Angka itu menyaksikan peningkatan hampir 1,000 mangsa berbanding 3,443 orang yang dilaporkan pagi ini dengan Kota Setar kekal sebagai daerah pa­ling terjejas melibatkan 1,472 mangsa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah mangsa di Kubang Pasu pula kembali meningkat daripada 704 kepada 1,089 orang.

“Mangsa di Pokok Sena kini 839 orang manakala 514 mangsa di Pendang diikuti Kuala Muda (131); Bandar Baharu (107); dan Kulim (86). Keseluruhan keluarga yang terlibat adalah 1,263 keluarga,” katanya.

Sementara itu kira-kira 93 petani di kawasan Lubuk Batu, di sini berputih mata dan kerugian lebih RM2 juta selepas sawah mereka berkeluasan kira-kira 232 hektar ditenggelami banjir sejak Isnin lalu.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu, Harun Zamri, 72, berkata, kebanyakan sawah hanya me­nunggu masa untuk dituai, namun tidak sempat berbuat demikian ekoran bencana itu.

Menurutnya, pokok padi yang tenggelam itu akan di­selaputi lumpur setelah air mengering kelak, malah tidak lagi dapat dituai selepas ini akibat padi rebah.

“Memang kerugian ditanggung kali ini terlalu besar, situasi menimpa petani ini sama dengan kejadian banjir pada 2010 ketika Kedah dilanda banjir besar.

“Setiap hektar padi boleh menghasilkan pendapatan kira-kira RM9,000, jadi dengan keluasan keseluruhan 232 hektar ini memang kerugian boleh dikatakan lebih RM2 juta,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, pesawah, Megat Asmadi Megat Saidin, 52, berkata, dia menanggung kerugian lebih besar kerana turut mengusahakan perkhidmatan traktor pembajak yang diupah petani lain.

“Kebiasaan setiap musim untuk memulakan tanaman padi, saya akan membajak kesemua 232 hektar sawah di kawasan ini dan bayaran hanya akan dibuat selepas menuai.

“Dengan keadaan semasa yang mana padi tidak boleh dituai, saya tidak tahu apa yang boleh dibuat ketika ini kerana pendapatan kami amat terjejas dan runsing memikirkan nasib,” katanya.

Tambahnya, selepas ini petani juga perlu memulihkan terlebih dahulu tanah sawah yang terendam sebelum boleh memulakan musim tanaman seterusnya yang sepatutunya bermula seawal bulan depan.

Banjir di negeri ini masih merekodkan jumlah mangsa yang tinggi apabila 3,920 mang­sa terus berlindung di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kedah setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Sementara itu di Pulau Pinang, seramai 582 mangsa banjir daripada 160 keluarga dilaporkan masih ditempatkan di lapan PPS di tiga daerah sehingga pukul 5.21 petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, jumlah itu menunjukkan berlakunya trend penurunan berbanding 659 mangsa yang dipindahkan sehingga pukul 8 pagi semalam.

Di Perlis, hujan yang masih berterusan menyaksikan mang­sa banjir di negeri ini terus me­n­­ingkat kepada 152 orang membabitkan 48 keluarga di empat PPS negeri ini.

Perkembangan tersebut turut menyaksikan dua PPS baru diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Ahmad Musa, Simpang Empat dan SK Kubang Gajah, Arau.

Di Kuala Perlis, fenomena air pasang turut menyebabkan rumah dan kedai-kedai makan di pesisiran pantai dinaiki air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya