Mangsa banjir di Kedah melepasi 3,000 orang - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Kedah melepasi 3,000 orang

PENDUDUK mengangkut barangan keperluan mereka untuk ke PPS setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Padang Luar, Jitra di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jumlah terkini mangsa banjir di seluruh Kedah merekodkan 3,443 mangsa daripada 979 keluarga yang terjejas setakat pukul 8 pagi ini.

Peningkatan lebih 1,000 orang itu berbanding hanya 2,281 mangsa yang dilaporkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 4 petang, semalam.

Meskipun tiada hujan lebat sejak tengah hari semalam, banjir di negeri ini khususnya dalam daerah Kota Setar bertambah buruk akibat fenomena air pasang besar.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, lapan PPS baharu diaktifkan bermula petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan kini 28 PPS di tujuh daerah.

“Bandar Baharu merupakan daerah ketujuh yang mengaktifkan PPS semalam setelah 113 mangsa daripada 25 keluarga terlibat terjejas banjir dan mereka kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu.

“Kota Setar masih merekodkan jumlah mangsa teramai setakat ini apabila 1,205 mangsa daripada 342 keluarga dipindahkan ke lapan PPS yang dibuka,” katanya.

Sementara itu di Pokok Sena, jumlah terbaru mangsa sudah menurun kepada 775 mangsa berbanding lebih 1,000 orang seperti dilaporkan pagi semalam.

“Mangsa di Kubang Pasu adalah 704 orang diikuti Pendang (429); Kuala Muda (131) dan Kulim 86 mangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN