PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra demi kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhannya.
Perdana Menteri berkata, beliau menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh di bawah kepimpinan Paetongtarn.
Katanya, Malaysia dan Thailand berkongsi banyak kepentingan bersama mencakupi pelbagai bidang kerjasama.
“Justeru, saya menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Paetongtarn.
“Saya juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Paetongtarn bagi melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand demi kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan perbincangan bersama Paetongtarn menerusi panggilan telefon bagi merakamkan ucapan tahniah susulan upacara mengangkat sumpah beliau sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada 6 September lalu.
Paetongtarn, 38, adalah ketua parti pemerintah Pheu Thai, dipilih oleh Parlimen bulan lalu untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang termuda selepas pemimpin sebelum ini, Srettha Thavisin, dipecat atas perintah mahkamah kerana pelanggaran etika.- UTUSAN