CYBERJAYA: Malaysia menerima penghargaan daripada Amerika Syarikat (AS) atas kerjasama pelaburan yang dilaksanakan pembuat kapal terbang dari negara berkenaan, Boeing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu dinyatakan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo menerusi sepucuk surat yang diterimanya hari ini.
“Kebetulan pagi tadi saya dapat surat daripada Setiausaha Perdagangan AS yang menyatakan penghargaan tinggi kepada kita kerana kerjasama membolehkan mereka melabur melalui syarikat Boeing di Kedah.
“Ini kerana mereka yakin akan keupayaan dasar kita walaupun kadang-kadang ada yang bimbang kerana nampak ada sedikit anjakan dari segi dasar luar.
“Saya tekankan bahawa dasar luar negara yang bebas dan merdeka seperti Malaysia harus bebas. Ada yang katakan ‘centrality’ yang menjadi tonggak kepada dasar luar kita dan mengambil sikap yang lebih pragmatik,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia bertuah kerana menerima pengiktirafan yang lebih baik dari negara luar berbanding sebelum ini.
“Walaupun kita mendekati China kerana keupayaan dan kekuatan China yang lebih segar bugar sekarang ini dan mutakhir dengan Russia kerana keupayaan dalam beberapa teknologi ruang angkasa, tenaga, nuklear yang jauh lebih pantas.
“Kita kekal dengan sahabat tradisional kita termasuk ASEAN, Eropah dan AS,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Boeing Company (Boeing) melancarkan semula kilang pembuatan komponen kapal terbangnya sebagai Boeing Composites Malaysia (BCM) di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Usaha itu sekali gus memperlihatkan komitmen syarikat antarabangsa itu dalam mengiktiraf keupayaan industri aeroangkasa Malaysia termasuk melalui pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam majlis pelancaran di kilang tersebut.
Menurut Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt, syarikat itu komited menjalinkan kerjasama dengan Malaysia untuk pelan jangka panjang bagi mengembangkan industri aeroangkasa negara sekaligus menyumbang pembangunan ekosistem di kawasan itu.
Jelasnya, bagi menyokong usaha itu Boeing turut menawarkan geran pendidikan sebanyak RM44,000 kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra untuk melatih 30 pelajar dalam teknologi pemesinan dan fabrikasi selain membimbing mereka ke arah peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa.
Disember tahun lepas, Boeing mengambil alih sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia (ACM) iaitu sebuah usaha sama dengan Hexcel Corporation sejak 2001 sebelum menjenamakan semula kepada BCM yang menyediakan produk komposit dan sub pemasangan semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner.
Kilang itu menyediakan kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara yang kini menawarkan kira-kira 1,000 tenaga kerja termasuk untuk penduduk tempatan. –UTUSAN