PUTRAJAYA: Malaysia kini sedang meneliti usaha diambil negara-negara lain berhubung isu keselamatan dan jenayah di media sosial.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, usaha itu termasuk membabitkan penetapan had umur bagi kanak-kanak memiliki akaun media sosial seperti yang akan dilaksanakan di Australia.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu had umur bagi pengguna media sosial memang satu perkara yang telah dibangkitkan berulang kali dengan platform media sosial.
“Setiap kali kita mengadakan perbincangan (bersama penyedia media sosial) itu, garis panduan mereka sendiri tidak membenarkan. Sebagai contoh, kanak-kanak di bawah 13 tahun dari membuka akaun media sosial.
“Tapi realitinya, kanak-kanak semuda dan seawal umur enam ke tujuh tahun memiliki akaun dalam media sosial berdasarkan dapatan saya di lapangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, beliau berharap dengan proses perlesenan nanti, platform media sosial akan lebih serius dalam usaha dan ikhtiar untuk mengurangkan dan akhirnya tidak membenarkan kanak-kanak terutama bawah umur 13 tahun dari memiliki akaun media sosial.
Terdahulu, media melaporkan, Australia akan menggubal undang-undang menyekat akses kanak-kanak menggunakan media sosial dengan menetapkan had usia minimum 16 tahun.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dilaporkan berkata, larangan berkenaan secara tidak langsung dapat menjauhkan kanak-kanak dari peranti, seterusnya mendorong mereka menghabiskan masa dengan kegiatan lebih berfaedah seperti bermain bola sepak di padang.
Ditanya adakah penyedia platform positif dengan kehendak (perlesenan media sosial) kerajaan ini, Fahmi berkata, mereka (penyedia platform media sosial) memahami hasrat itu untuk kekang isu jenayah dalam talian.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Kerajaan Perpaduan tidak bercadang meneruskan inisiatif penghalaan sistem nama domain (DNS).
Katanya, beliau telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneruskan sesi libat urus yang bermula sejak enam bulan, bagi mencari langkah terbaik menangani isu keselamatan dalam talian bagi rakyat Malaysia, khususnya keluarga dan kanak-kanak.
Tegasnya lagi, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap keutamaan dan komitmen untuk menjadikan Internet lebih selamat, khususnya bagi golongan yang mudah terdedah kepada bahaya.
“Kita mengambil kira jenayah yang semakin berhijrah ke dunia siber, bukan hanya dalam media sosial, tapi juga dalam apa kita kenali sebagai world wide web (WWW),” katanya. – UTUSAN