KUALA LUMPUR : Malaysia akan bertanding kerusi Lembaga Eksekutif Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Perkara itu akan diumumkan secara rasmi kepada Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Xing Qu semasa lawatan ke Perancis, esok.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Malaysia bersedia bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (BFD).
“Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak.
“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fadhlina akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis bermula esok sehingga 4 September ini.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada transformasi pendidikan digital.
“Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN