PETALING JAYA: Malaysia menyelar tindakan sebahagian pihak yang menyalahgunakan mekanisme Majlis Keselamatan bagi membolehkan kekejaman besar-besaran dilakukan ke atas Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak negara memperjuangkan keadilan untuk penduduk di Gaza dengan menyatakan protes dan berusaha mewujudkan gencatan senjata sejak hampir satu tahun lalu.
Bagaimanapun, kata beliau, suara-suara yang menuntut keadilan untuk Palestin di Majlis Keselamatan diketepikan melalui kuasa veto.
“Adalah jelas bahawa mekanisme Majlis Keselamatan telah disalahgunakan untuk membolehkan kekejaman besar-besaran. Kegagalan untuk mewujudkan gencatan senjata tidak lagi wajar, kita sudah kehabisan alasan.
“Sudah tiba masanya untuk masalah tersebut ditangani, kuasa veto tidak sepatutnya digunakan sesuka hati. Perlu ada pengecualian dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan dan serangan ke atas infrastruktur awam,” katanya ketika berucap di New York, Amerika Syarikat.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sabtu (Ahad di Malaysia) pada Perbahasan Umum Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.
UNGA ke-79 menampilkan tema perbahasan ‘Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang’.
Perbahasan Umum Peringkat Tinggi yang berlangsung dari 24 hingga 30 September ini menyaksikan pemimpin-pemimpin dunia menyampaikan pendirian negara masing-masing berhubung pelbagai isu global dalam perhimpunan tahunan itu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua pihak perlu komited untuk mereformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, keadilan hanya akan bermula apabila impunitas berjaya ditamatkan dan memastikan akauntabiliti.
“Untuk merealisasikan perkara ini, kuasa veto yang tidak demokraktik mesti dihadkan atau dimansuhkan terus. Majlis Keselamatan yang lumpuh dan memaslukan mesti diperbetulkan melalui pemerkasaan perhimpunan agung ini, di mana suara majoriti diutamakan.
“Kita perlu fahami perkara ini, kesediaan untuk mereformasi adalah merupakan soal hidup dan mati, Di saat kita sedang berucap har ini terdapat kanak-kanak yang mati akibat dari serangan peluru berpandu,” jelasnya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Israel sudah melanggar setiap undang-undang antarabangsa yang ada termasuk Konvensyen Genosid, Konvensyen Geneva dan Perjanjian Hak Asasi Manusia Teras.
“Beberapa bulan yang lalu, dunia menyaksikan penghinaan yang dilakukan Israel terhadap PBB di dalam Dewan ini, dengan penghinaan ke atas piagam PBB.
“Tindakan Israel pada setiap hari yang berlalu, menimbulkan keraguan kita sama ada ia benar-benar percaya kepada sistem PBB atau menghargai keahliannya dalam organisasi ini.
“Pendudukan haramnya telah memupuk sistem apartheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Tambahnya, Israel sendiri sudah mengisytiharkan hasratrnya untuk menghapuskan seluruh penduduk Palestin maka tanpa persoalan, mereka memang berniat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
“PBB tidak boleh terus membiarkan perkara ini. Kita mesti segera menggunakan proses sedia ada yang diasaskan oleh perhimpunan agung ini, bersama-sama dengan mekanisme yang dibangunkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO itu turut menyatakan seruan Malaysia ke atas masyarakat antarabangsa bagi memulakan semula Jawatankuasa Khas PBB menentang apartheid.
“Malaysia juga menuntut Majlis Keselamatan menggunakan kuasa di bawah Bab 7 Piagam PBB dan mengenakan sekatan senjata segera terhadap Israel,” katanya. – UTUSAN