Malaysia, Palestin setuju laksana resolusi PBB

Malaysia, Palestin setuju laksana resolusi PBB

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Palestin bersetuju menyelaras usaha bagi melaksanakan resolusi diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa penamatan pendudukan tidak sah Israel dalam tempoh 12 bulan.

Pendirian itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79, New York, Amerika Syarikat (AS).

Dalam pertemuan itu, Mohamad menyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia dan Palestin bersetuju menyelaras usaha-usaha melaksanakan Resolusi Perhimpunan Agung PBB yang diterima pakai semasa Sesi Tergempar Khas Ke-10 yang menggariskan tindakan konkrit untuk melaksanakan Pendapat Nasihat ICJ berhubung Palestin bertarikh 19 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Perhimpunan Agung PBB secara majoriti meluluskan resolusi yang menggesa penamatan pendudukan tidak sah Israel dalam tempoh 12 bulan.

Resolusi dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar dengan 124 negara anggota mengundi menyokong manakala 14 menentang dan 43 berkecuali.

Resolusi ini turut disokong bersama oleh Turkiye dan lebih 50 negara anggota lain yang menuntut pendudukan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB.

Menyatakan bahawa penempatan haram Israel juga melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi itu menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka sendiri di bawah Piagam PBB.

Dalam pada itu, Mohamad dalam kenyataan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Masa Depan (SOTF), mengesahkan komitmen negara terhadap SOTF dan Pakatan Masa Depan yang menekankan keperluan mendesak untuk kerjasama global dalam menangani cabaran dunia semakin meningkat.

Beliau berkata bahawa menangani cabaran yang saling berkaitan seperti keselamatan makanan, pendidikan dan perubahan iklim adalah penting dengan menyatakan kemajuan dalam bidang ini di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) masih jauh ketinggalan.

Katanya, Malaysia juga menyokong penubuhan Dana Sains Global untuk menggalakkan penyelesaian yang pelbagai dan inovatif terhadap cabaran global.

Menurut beliau, dana itu akan membantu negara terutama di Global Selatan membangunkan teknologi untuk menangani perubahan iklim, keselamatan makanan dan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN