Malaysia - New Zealand sepakat gencatan senjata segera di Gaza

Malaysia – New Zealand sepakat gencatan senjata segera di Gaza

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan New Zealand sepakat gencatan senjata serta merta dan berkekalan perlu dilaksanakan bagi menghentikan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza, Paletin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon, pelbagai isu dibangkitkan antara kedua-dua pihak termasuk peperangan yang sedang berlaku di Gaza.

Katanya, pertemuan itu memberi ruang untuk Malaysia menyatakan pendirian dalam sokongan terhadap Hamas dan Palestin berhubung kekejaman yang berlaku sejak tahun 1947 – 1948 di wilayah tersebut.

“Saya akui dan menghargai kenyataan terbaharu dikeluarkan New Zealand bersama beberapa rakan lain mengenai keperluan gencatan senjata segera dan merangka resolusi damai. Pendirian Malaysia terhadap Hamas jelas dan (pertemuan ini) memberi peluang untuk kita menyatakan pendirian.

“Keganasan ini bermula antara 1947 – 1948, itu sejarah yang tidak boleh dipadam tetapi ia perlu dihentikan. Seramai 40,000 orang dibunuh oleh satu pihak dan mereka bukan pengganas, itu juga masalah yang perlu diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia – New Zealand, hari ini.

Anwar  berkata, Malaysia turut mengambil tanggungjawab untuk menggalakkan Hamas dan Iran mencari jalan perdamaian dalam isu membabitkan Gaza.

“Harus ada perdamaian iaitu gencatan senjata segera daripada segala keganasan terhadap orang awam. Malaysia juga menyokong resolusi UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dan Liga Arab.

“Tetapi ia tidak dilihat begitu menggalakkan ketika ini kerana kurangnya komitmen khususnya daripada Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pengaruh besar untuk menghentikan keganasan (di Gaza),” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pertemuan dengan Luxon, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju memperkukuh dan mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Beliau berkata, Malaysia juga memohon supaya jumlah pelajar Malaysia ke New Zealand ditambah terutama membabitkan lepasan ijazah dalam bidang baharu yang menjadi kepakaran negara Kiwi tersebut termasuk peralihan tenaga dan teknologi makanan.

“Kemudian kami berdua bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam semua sektor termasuk industri halal. Kedua-dua negara mempunyai potensi dengan hubungan rapat sejak berdekad lalu namun tidak mengambil kesempatan meningkatkan kerjasama,” katanya.

Pelaburan dari New Zealand pada tahun lalu membabitkan 24 projek diluluskan adalah sebanyak RM238.28 juta dan menghasilkan 1,137 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN