KUALA LUMPUR : Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM160 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kesemua pelaburan tersebut melibatkan hampir 3,000 projek baharu yang akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Khazanah ke-30 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan suku kedua Malaysia telah mencapai 5.9 peratus sekali gus menunjukkan ekonomi negara kembali memperlihatkan prestasi cemerlang.
Katanya, perkara itu tidak akan berlaku tanpa kerjasama pelbagai pihak termasuk dalam Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). –UTUSAN