Malaysia komited hasilkan minyak sawit patuhi peraturan Eropah

Malaysia komited hasilkan minyak sawit patuhi peraturan Eropah

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Malaysia mengulangi komitmen terhadap pengeluaran minyak sawit mampan susulan pengumuman terkini Suruhanjaya Eropah bahawa ia tidak akan menangguhkan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia komited kepada matlamat utama kemampanan global, antara lain mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan dan mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050. 

Selain itu, mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Malaysia menekankan empat fokus utama dalam memastikan kemampanan produk minyak sawit Malaysia, yang merangkumi elemen kebolehjejakan, bebas daripada penebangan hutan, pemilikan tanah yang sah, dan amalan buruh yang baik selaras dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sektor minyak sawit Malaysia mengamalkan piawaian kemampanan yang ketat melalui skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kita terhadap ketelusan dan kebolehjejakan sepanjang rantaian bekalan, tetapi juga memastikan industri bersedia sepenuhnya untuk mematuhi peraturan berkenaan.

Johari berkata, daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia, 73 peratus diterajui oleh syarikat-syarikat besar, di mana kebanyakan mereka dilengkapi dengan sokongan dalam mematuhi peraturan serta mengeksport ke pasaran Eropah.

“Selebihnya, 27 peratus daripada pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan oleh kira-kira 450,000 pekebun kecil, menghadapi cabaran unik dalam menyesuaikan diri dengan landskap peraturan yang semakin berkembang. 

“Kerajaan, melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, sedang giat melaksanakan inisiatif peningkatan kapasiti untuk menyokong peralihan mereka ke arah pematuhan EUDR. Ini penting untuk memastikan mata pencarian pekebun kecil ini tidak terjejas oleh pelaksanaan peraturan terbabit.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa kita untuk memastikan hasil yang saling menguntungkan serta memerangi perubahan iklim dan penebangan hutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN