KOTA BHARU: Malaysia kekal mempertahankan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas dan selamat untuk tujuan ekonomi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pandangan itu telah disampaikan semasa forum pertahanan di Beijing, China dengan menggariskan empat perkara yang menjadi tumpuan serta asas kepada pendirian Malaysia berkaitan keselamatan di Laut China Selatan.
“Paling utama adalah kita (Malaysia) akan kekal mempertahankan kedaulatan sempadan dan daerah perairan kita. Kita cukup tegas dalam konteks ini.
“Kita juga memperjuangkan Laut China Selatan sebagai kawasan bebas dan selamat untuk tujuan ekonomi serta perdagangan dan saya fikir semua negara maklum mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) di sini hari ini.
Adly memberitahu, Malaysia kekal dengan pendirian diplomasi, perbincangan, dialog dan hubungan dua hala antara negara harus menjadi mekanisme penyelesaian sekiranya ada isu atau konflik berbangkit mengenai keselamatan Laut China Selatan.
Katanya, melalui undang-undang antarabangsa semua pihak terlibat harus memastikan Laut China Selatan menepati konsep ‘freedom of navigation’ yang mana keperluan-keperluan maritim perlu diberikan keutamaan.
“Malaysia telah mengemukakan empat perkara tersebut semasa forum pertahanan di Beijing dan memang ada beberapa pandangan serta persoalan dikemukakan terhadap pendirian kita mengenai perkara ini.
“Namun Malaysia kekal dengan pendiriannya. Kedaulatan negara kita pertahankan dan apa-apa isu berbangkit hendaklah diselesaikan secara hubungan dua hala, perbincangan atau dialog dengan negara-negara terkait,” ujarnya.
Adly berkata, Malaysia mempunyai hubungan agak baik dengan China yang mana kerjasama antara kedua-dua negara telah mencecah 50 tahun dan aspek itu digunakan sebagai elemen diplomasi penting bagi negara ini.-UTUSAN