Malaysia harap keputusan Mahkamah Perancis berpihak kepada negara - Utusan Malaysia

Malaysia harap keputusan Mahkamah Perancis berpihak kepada negara

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berharap keputusan Mahkamah Agung Perancis akan berpihak kepada negara setelah mengambil kira pernyataan dikemukakan oleh kedua-dua pihak dan kerajaan Perancis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia hari ini hadir pada perbicaraan di Mahkamah Agung Perancis bagi memperkukuh kedaulatan dan kepentingan negara menentang penipuan Sulu di Perancis.

Katanya, mahkamah akan mendengar bantahan dikemukakan pihak yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

“Tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar penghakiman yang diputuskan oleh penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa yang mendapati beliau salah memutuskan bidang kuasanya.

“Malaysia berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia. Terbaru pada 6 September 2024, Mahkamah Agung Belanda, yang membuat keputusan memihak kepada Malaysia dan menolak rayuan yang difailkan oleh pihak berkenaan.

“Sehubungan itu, Malaysia akan terus berjuang melawan penipuan Sulu di bidang kuasa lain yang terbabit, termasuk di Sepanyol dan Luxembourg,” katanya dalam kenyataan.

Stampa mengeluarkan Final Award berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia dan Malaysia menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan penghakiman itu di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh kerajaan Malaysia di Perancis pada 12 Julai 2022 terhadap penguatkuasaan penghakiman itu.

Justeru, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia berhubung penguatkuasaan penghakiman itu adalah kekal.

Dalam pada itu, Azalina menerusi hantaran di akaun X memberitahu Kerajaan Madani memandang serius isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang cubaan mana-mana pihak mengganggu gugat kedaulatan dan maruah Malaysia demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN