Malaysia gesa UNSC bertindak segera hentikan serangan kejam Israel di Palestin, Lubnan

Malaysia gesa UNSC bertindak segera hentikan serangan kejam Israel di Palestin, Lubnan

lubnan
Gambar yang diambil pada 24 September 2024, menunjukkan serpihan dan kemusnahan di tapak serangan Israel semalaman di kawasan kejiranan di bandar Lubnan Baalbeck di lembah Bekaa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam rejim Zionis Israel yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Kementerian Luar berkata, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.

Tegas Wisma Putra, dalam hal ini Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, kementerian ini menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

“Warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia pada masa sama mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis di Lubnan yang mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

Jelasnya, serangan ini juga menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Kata Wisma Putra, tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima,” katanya.

Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut di Alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan (Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 Emel: [email protected]). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN