PETALING JAYA: Fenomena La Nina yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini sehingga pertengahan tahun depan berpotensi menyebabkan cuaca lebih lembap di sebahagian besar rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang bermula sejak awal minggu ini dan dijangka berterusan sehingga awal November.
Menurut beliau, selepas fasa peralihan monsun, musim tengkujuh dijangka bermula sekitar awal November.
“Fasa peralihan monsun ini berlaku dua kali setiap tahun, iaitu dari Mac hingga Mei dan September hingga November.
“Fenomena ini sering kali membawa peningkatan kejadian ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang, terutamanya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, serta barat dan tengah Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd Hisham berkata, data pencerapan meteorologi MetMalaysia juga menunjukkan peningkatan dalam kekerapan ribut petir ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Peningkatan ini dipercayai selari dengan kajian global yang mengaitkannya dengan kesan perubahan iklim.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca bagi mengelakkan sebarang risiko akibat cuaca buruk sepanjang tempoh ini,” jelasnya.- UTUSAN