Malaysia dijemput ke Sidang Kemuncak BRICS

Malaysia dijemput ke Sidang Kemuncak BRICS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemputan untuk Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak BRICS (organisasi antara kerajaan iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pada bulan depan mencerminkan keutamaan diberikan kepada negara ini menjadi anggota kumpulan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia adalah antara puluhan negara yang sudah memohon untuk menjadi ahli BRICS.

Justeru, katanya, jemputan yang disampaikan secara peribadi oleh Presiden Russia, Vladimir Putin untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS pada bulan depan mencerminkan keutamaan diberikan kepada negara ini.

“Jadi, nampaknya keutamaan sudah diberikan kepada Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar pada hari terakhir lawatan beliau ke Russia, hari ini.

Malaysia menerima jemputan Russia oleh Putin untuk menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan dari 22 hingga 24 Oktober ini sekali gus menjadi langkah penting ke arah penyertaan  dalam blok tersebut.

Pada 28 Julai lalu, Anwar berkata, Malaysia menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai BRICS susulan kunjungan hormat dibuat oleh Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov.

Russia kini mempengerusikan BRICS yang dianggotai Brazil, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu dan blok ini dianggap sebagai pesaing geopolitik utama kepada blok G7 yang terdiri daripada beberapa negara paling maju di dunia.

Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan dengan teliti sama ada untuk menghadiri sendiri atau menghantar wakil ke sidang kemuncak itu memandangkan jadual yang padat pada bulan depan.

Beliau juga menepis sebarang kemungkinan kecaman daripada negara lain sekiranya Malaysia menyertai BRICS.

Beliau berkata, satu-satunya kebimbangan oleh negara lain mungkin penyertaan dalam kumpulan yang diketuai Russia itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi.

“Mungkin ada kebimbangan bahawa BRICS akan memberi kesan negatif kepada hubungan dengan negara lain. Saya tidak fikir akan ada (kecaman),” kata Anwar.

Mengenai peluang Malaysia untuk diterima sebagai ahli BRICS, beliau berkata, ia dilihat positif.

Ia susulan perbualan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Putin dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya