Malaysia buat rayuan tambah kuota jemaah haji 1446H

Malaysia buat rayuan tambah kuota jemaah haji 1446H

MOHD. Na’m Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan watikah kepada PETKA yang menghadiri MHPK 1446H/2025M di Kota Bharu, Kelantan semalam. – MINGGUAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia sudah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi untuk pertambahan kuota haji jemaah haji tahun depan.

Menterinya Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan untuk mempertimbangkan penambahan kuota itu.

Menurutnya, setakat ini kerajaan belum menerima respons dari pihak Kerajaan Arab Saudi.

“Kuota jemaah kita kekal pada jumlah 31,600 dan belum ada sebarang pertambahan buat masa ini.

“Bagaimanapun, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan persediaan awal untuk menyiapkan bakal jemaah haji bagi menghadapi musim haji pada tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) 1446H/2025M di sini, malam semalam.

Mohd. Na’im memberitahu, MHPK ke-41 adalah salah satu persiapan awal yang sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu-isu ibadat haji.

“MHPK membincangkan isu-isu berbangkit yang perlu diberikan keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji akan datang.

“Isu-isu diperbincangkan akan dijadikan resolusi dan diangkat ke Jabatan Haji serta disebarkan kepada semua Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) untuk dimaklumkan kepada semua bakal jemaah haji melalui semua kursus dijalankan TH,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) hanya akan mengeluarkan pandangan hukum berkaitan isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dan bukan fatwa.

“Perkara berkaitan GISBH te­lah dibincangkan malam kelmarin dan jawatankuasa tersebut telah mengeluarkan pandangan hukum dan bukan fatwa kerana fatwa akan diputuskan di negeri masing-masing.

“Apa yang diputuskan oleh jawatankuasa itu akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober untuk mendapat perkenan duli-duli tuanku, sebelum dibawa ke jawatankuasa fatwa negeri masing-masing untuk proses pengeluaran dan pewartaan fatwa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN