Majikan tidak mampu bayar gaji  lepasan TVET RM4,000  - Utusan Malaysia

Majikan tidak mampu bayar gaji  lepasan TVET RM4,000 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji sehingga RM4,000 sebulan bagi lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) mungkin tidak  mampu dibayar majikan selain ada kalangan mereka meragui  kualiti sijil TVET.

Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, ketetapan gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 memberi cabaran besar untuk majikan membayar gaji pekerja.

“Pengumuman kerajaan itu juga dijangka tidak  mencetuskan fenomena belia untuk menceburi  TVET dan untuk mereka memilih pekerjaan berasaskan kemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, dalam isu bayaran kepada lepasan TVET kerajaan juga tidak menyatakan sama ada bayaran RM2,500 hingga RM4,000 itu diwajib atau sebaliknya.

“Kalau sebagai satu galakan mungkin tidak akan beri kesan yang besar sebab majikan akan beri kadar gaji ikut kemampuan syarikat masing-masing.

“Namun mereka mungkin berat untuk tawarkan gaji sehingga 4,000 dan kerajaan perlu ada usaha untuk meringankan kos majikan atau syarikat berkenaan jika mahu majikan memberi gaji sehingga RM4,000,” katanya. 

Prof Madya Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, terdapat segelintir majikan masih mempunyai tanggapan bahawa mengapa perlu sijil TVET sedangkan belia yang menceburi bidang itu bermula daripada asas melalui pengalaman, kemahiran dan pengetahuan semasa.

Menurut beliau, segelintir syarikat tidak yakin dan faham tentang kandungan latihan TVET dan pengalaman graduan TVET atas sebab kurang interaksi dengan institusi TVET sebelum ini.

 “Keadaan ini, menyebabkan majikan atau syarikat  beranggapan graduan TVET tidak memenuhi spek kemahiran yang diperlukan dalam industri,” kata beliau.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi berkata,majikan kini lebih cenderung mengambil pekerja yang berpengalaman kerana boleh terus menyumbang kepada syarikat tanpa memerlukan latihan lanjut. 

“Walaupun lepasan TVET mempunyai kemahiran teknikal yang kukuh, kekurangan pengalaman dalam bidang kerja sebenarnya  boleh menyebabkan mereka kurang diambil bekerja, terutama oleh syarikat yang lebih fokus pada kepakaran sedia ada.

“Oleh itu, penting untuk ada usaha kerjasama antara penyedia latihan TVET dan industri bagi mengurangkan jurang tersebut, termasuk melalui program latihan industri, magang, dan kolaborasi bagi meningkatkan keyakinan majikan terhadap kualiti lepasan TVET,” katanya.

Baru-baru ini Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium permulaan kepada lepasan bidang itu antara RM2,500 hingga RM4,000.

Ketetapan tersebut dibuat bagi menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan dalam bidang tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN