MAIDAM sedia bantu anak-anak pengikut GISBH - Utusan Malaysia

MAIDAM sedia bantu anak-anak pengikut GISBH

SHAIKH HARUN SHAIKH ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia memberi bantuan kepada anak-anak pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) meliputi aspek pendidikan dan kemahiran sekiranya diperlukan.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kanak-kanak tersebut akan diberi bantuan selayaknya jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu.

“Kita tak akan abaikan, kita boleh bekerjasama jika kanak-kanak ini termasuk dalam golongan asnaf.

“Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan (pendidikan, kemahiran, perniagaan) agar mereka boleh berdikari semula,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di sini, hari ini.

Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Shaikh Harun memberitahu, hasil pemantauan yang dilakukan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada anak-anak pengikut GISBH yang terabai berada di Terengganu.

“Semua premis yang dikaitkan dengan GISBH di Terengganu kini telah dikosongkan dan hasil serbuan pihak berkuasa tidak menemui mana-mana individu di premis tersebut,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan terdapat ahli GISBH yang mempunyai 34 anak namun hanya dua anak yang tinggal bersamanya.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati kebanyakan mereka telah didoktrin agar tidak mengaku anak kerana tidak mahu dikaitkan dengan kesalahan pengabaian dan kebajikan kanak-kanak di rumah amal tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN