Mahkamah pandang serius tohmahan Siti Bainun terhadap hakim bicara kes Bella

Mahkamah pandang serius tohmahan Siti Bainun terhadap hakim bicara kes Bella

SITI Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan mengabai dan menganiayai remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memandang serius dakwaan yang dilemparkan oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali terhadap hakim yang mendengar perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan terhadap remaja sindrom Down, Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, tohmahan-tohmahan itu antara lain menyatakan hakim bicara menokok tambah fakta, menyembunyikan keterangan dan meringkaskan nota prosiding.

Ujar beliau, dakwaan yang dibangkitkan dalam penghujahan bertulis perayu turut menyatakan, hakim berkenaan bersikap berat sebelah dengan `memilih-milih’ keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi.

“Mahkamah ini memandang serius dakwaan tidak berasas dan tanpa bukti terhadap seorang hakim. Setelah meneliti nota keterangan dan prosiding perbicaraan, saya dapati hakim Mahkamah Sesyen membuat dapatan berlandaskan fakta dan keterangan terus dan keterangan sokongan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa dapatan dibuat berdasarkan keterangan yang relevan dan nyata, bukan berpandukan kepada faktor luaran,” ujarnya dalam penghakiman bertulis sewaktu menolak rayuan Siti Bainun.

Hakim Noorin menggariskan alasan penghakiman setebal 155 muka surat bertarikh 6 September lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Pada 2 Mei lalu, beliau mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun atas dua kesalahan mengabai dan menganiaya Bella, tiga tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan pada 3 Mei 2023.

Dalam penghakimannya, Hakim Noorin turut berpuas hati, Bella menderita kecederaan fizikal dan emosi selama empat bulan di antara Februari hingga Jun 2021 angkara Siti Bainun.

Pada hemat beliau, jalinan keseluruhan keterangan saksi pendakwaan pertama, kelima dan kelapan (SP1, SP5 dan SP8) jelas menunjukkan bahawa Bella dianiya oleh Siti Bainun seperti mana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Beliau berpendapat, pertuduhan pertama dan kedua yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan merupakan notis yang mencukupi untuk perayu menyediakan pembelaannya.

Mahkamah turut menekankan bahawa Siti Bainun banyak mengutarakan peruntukan undang-undang yang didakwa tidak dipatuhi oleh pihak pendakwaan dan hakim bicara.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, perayu gagal menzahirkan bentuk ketidakadilan yang dialaminya akibat ketidakpatuhan tersebut kerana apa yang pasti, hak perayu jelas terpelihara melalui barisan peguam yang mewakilinya.

Hakim Noorin turut menyatakan, saksi-saksi telah disoal dengan panjang lebar dan memakan masa berhari-hari oleh bukan seorang peguam sebaliknya beberapa orang dan prosiding soal balas telah dilakukan secara menyeluruh.

Sehubungan itu, perayu tidak boleh dikatakan telah terlepas peluang untuk mendapat keadilan sewajarnya.

Siti Bainun turut menyatakan, dia tidak boleh dipertanggungjawabkan melakukan kecederaan ke atas Bella (SP18) meskipun selepas mendapat Perintah Jagaan Sementara (P42) dan Perintah Jagaan Tetap (P43) daripada Mahkamah Majistret.

Menurut perayu, ini kerana terdapat orang lain (seperti SP5) yang turut diamanahkan menjaga dan berada bersama SP18 semasa ketiadaannya.

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju dengan hakim bicara bahawa tindakan Siti Bainun memindahkan tanggungjawab menjaga Bella kepada Yasmin pada tempoh masa seperti yang didakwa adalah tidak sah, tidak wajar dan melanggar perintah Mahkamah berhubung jagaan tetap (P43).

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari dan Jun 2021 sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya