MAHA 2024: Pengunjung timba pengalaman, ilmu baharu - Utusan Malaysia

MAHA 2024: Pengunjung timba pengalaman, ilmu baharu

MAHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG:  Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang menyambut 100 tahun penganjuran memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang hadir ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan pengunjung menghala ke MAEPS tidak putus-putus sejak pukul 8 pagi hingga berlaku kesesakan di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Pekerja swasta, Siti Aisyah Basri, 23, berkata, dirinya bersama rakan-rakan hadir ke MAHA 2024 sejak pukul 10 pagi kerana berasa teruja untuk hadir ke pameran yang sudah berjaya menganjurkan hingga 100 kali.

“Bagi saya, MAHA 2024 adalah menarik kerana banyak reruai yang memberi ilmu baharu kepada pengunjung di sini. Jadi, kami dapat belajar sambil berkunjung di sini. Gerai makanan pun banyak yang menarik.

“Memandangkan MAHA 2024 dianjurkan selama dua minggu, saya memang ingin datang semula untuk membawa kawan-kawan lain dan keluarga bagi sama-sama merasai pengalaman di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Seorang lagi pengunjung, Ain Ayunni Muhammad, 31, berkata, dia tertarik untuk hadir kerana terdapat pelbagai promosi dilaksanakan oleh kerajaan.

“Untuk penganjuran sebelum ini, ada dengar di radio dan sebagainya tetapi tidak ada rasa nak datang tetapi untuk tahun ini memang saya rasa nak datang,” ujarnya.

Sementara itu, Johariah Jamaludin, 60, mengajak orang ramai terutama golongan muda untuk hadir ke MAHA 2024 bagi mendapatkan pengalaman dan memperoleh peluang baharu termasuk pekerjaan.

“Saya rasa MAHA 2024 merupakan program yang baik dan bagus untuk dikunjung rakyat.

“MAHA 2024 menyediakan pelbagai jenis pameran. Malah, peluang pekerjaan pun ada diberikan untuk orang muda yang mungkin baru menamatkan pengajian dan sebagainya,” katanya.

MAHA 2024 bertemakan Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan, pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari itu diadakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN