MAHA 2024: Pavilion Melaka sasar jualan RM80,000

MAHA 2024: Pavilion Melaka sasar jualan RM80,000

ABDUL Rauf Jusuh (tengah) bersama Akmal Saleh ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan negeri Melaka menyasarkan jualan kira-kira RM80,000 untuk produk dari negeri itu sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Jusuh berkata, setakat hari pertama semalam,  sebanyak RM6,321.50 hasil jualan produk usahawan negeri Melaka dicatatkan di Pavilion Melaka.

“Saya berharap semua usahawan Melaka yang mengambil bahagian pada MAHA 2024 dapat merebut peluang memperkenal serta mempromosikan produk keluaran masing-masing”.

“MAHA 2024 adalah ruang terbaik untuk usahawan tempatan mengetengahkan produk diusahakan seterusnya sebagai jambatan untuk melebarkan pasaran hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Pavilion Melaka sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

MAHA 2024 bertemakan Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari diadakan. 

Menurut Abdul Rauf, Melaka mempunyai kawasan hab halal yang terbaik dan berjaya mengeluarkan pelbagai produk halal tempatan dan mampu dipasarkan di dalam negeri dan luar negara.

Sehubungan itu beliau berharap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat  memasarkan produk tersebut ke luar negara. 

“Melaka merupakan negeri yang mengungguli proses hab halal. Terdapat beberapa syarikat yang telah berjaya mengeluarkan produk halal dan memasarkannya di dalam dan luar negara,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan satu inisiatif baharu yang bakal direalisasikan oleh kerajaan negeri dalam memperkasa pengusaha pertanian di Melaka.

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu program latihan khas Melon to Million bakal dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menyokong projek mengoptimumkan penggunaan tanah di bawah Program Keterjaminan Makanan 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN