MAHA 2024 lepasi sasaran tiga juta pengunjung

MAHA 2024 lepasi sasaran tiga juta pengunjung

Orang ramai menaiki bas Rapid KL yang disediakan secara percuma untuk bergerak ke sekitar Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berjaya mencatat jumlah pengunjung yang melebihi sasaran awal dengan lebih tiga juta pengunjung hadir sejak pameran ini dibuka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian ini amat membanggakan, terutamanya dari segi sambutan terhadap tanaman dan benih-benih pokok serta para pengunjung yang hadir.

“Sambutan terhadap tanaman dan benih-benih pokok juga mencatatkan jumlah jualan setanding dengan pameran MAHA dua tahun lalu, meskipun pameran kali ini baru berlangsung sejak tujuh hari lalu.

“Kami amat berbesar hati dengan pencapaian ini. Jualan benih pokok telah mencapai tahap yang sama seperti pameran MAHA sebelum ini, dan dengan baki beberapa hari lagi, kami menjangkakan jualan ini akan meningkat sekurang-kurangnya sekali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Dewan B di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini semalam.

MAHA 2024 yang dianjurkan buat kali ke-100 bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’ merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam mulai 11 sehingga 22 September ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesedaran rakyat terhadap kepentingan menanam buah-buahan dan sayuran di rumah atau di tanah mereka sendiri semakin meningkat, sejajar dengan seruan kerajaan untuk menggalakkan pertanian di peringkat domestik.

Jelasnya, kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kenderaan seperti bas dan van bagi mengurus kesesakan yang berlaku berikutan peningkatan jumlah pengunjung pada hujung minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN