MAHA 2024: KPKM tandatangani MoU bersama FGV, Genting Plantations

MAHA 2024: KPKM tandatangani MoU bersama FGV, Genting Plantations

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman Pembangunan Industri Jagung Bijian antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad (tengah), FGV Holdings Bhd yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid (dua dari kanan), dan Genting Plantations Bhd yang diwakili Ketua Eksekutif Genting Plantations Bhd, Datuk Seri Tan Kong Han (dua dari kiri), pada Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan 400 hektar tanah bertujuan membangunkan industri jagung bijian (grain corn).

MoU itu melibatkan kerjasama kementerian dengan dua syarikat iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dan Genting Plantations Berhad.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertukaran itu diadakan sebagai inisiatif mengukuhkan pembangunan industri jagung bijian dalam negara, khususnya melibatkan pengeluaran berskala besar.

Katanya, ia bagi mengurangkan kebergantungan industri ternakan terhadap produk yang majoritinya diimport dari Brazil dan Argentina itu.

“Kita import jagung bijian hampir 100 peratus dan ia adalah 50 ke 60 peratus makanan ternakan yang digunakan.

“Kita harap dengan usaha ini ia menjadi satu permulaan berskala besar dan kita berharap syarikat-syarikat lain yang mempunyai tanah luas, sebahagian kecilnya diberi untuk tanaman jagung bijian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Majlis Pertukaran MoU bersama Genting Plantations dan FGV Integrated di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata Mohamad, projek yang baru dimulakan itu berjaya mengurangkan kebergantungan import sebanyak 10 peratus.

Katanya, bagaimanapun negara menyasarkan pengurangan sekitar 60 peratus pada masa akan datang.

“Projek ini sudah dimulakan secara rintis melibatkan 200 hektar. Buat masa sekarang pengurangan tidak sampai 10 peratus. Kita masih jauh lagi.

“Kalau boleh kita nak capai pengurangan sehingga 50 ke 60 peratus kemudian baru kita boleh stabil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN