MAHA 2024 catat sejarah dalam Malaysia Book of Record

MAHA 2024 catat sejarah dalam Malaysia Book of Record

MENARA setinggi 4.2 meter yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) itu dibina menggunakan 7,000 biji buah pamelo dan 100 biji buah nangka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 mencatat sejarah apabila mengukir nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR) melalui menara buah pamelo setinggi 4.23 meter.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, menara itu setinggi 4.2 meter dengan 7,000 biji buah pamelo dan 100 biji buah nangka digunakan untuk membinanya.

Kata beliau, pengiktirafan itu juga diberikan kepada MAHA 2024 sempena dengan penganjurannya kali ke-100.

“Antara tujuan kita mewujudkan atau mengusahakan menara ini adalah untuk mempromosikan buah pamelo yang terdapat di dalam negara kita. Malaysia mempunyai banyak buah tersebut dari Tenom (Sabah), Sarawak dan Tambun (Perak).

“Ini supaya pasaran domestik dan antarabangsa lebih mengenali bahawa Malaysia mempunyai buah pamelo yang sangat sedap,” katanya kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan dari MBOR.

Terdahulu, Arthur Joseph menerima bingkai pengiktirafan menara buah pamelo daripada pegawai MBOR, Siti Nurhanim Mohd Nor di Kingdom of Agrofood di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pensiangan itu, percaya MAHA 2024 akan berjaya mencapai sasarannya iaitu meraih tiga juta pengunjung sehingga 22 September ini.

“Beberapa hari akan datang kita akan menuju ke musim cuti sekolah, jadi saya cukup yakin kita boleh mencapai sasaran pengunjung dalam sepanjang MAHA 2024 ini berlangsung,” katanya.

Tambahnya, MAHA 2024 di dalam hari ketiga penganjurannya berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bernilai hampir RM800 juta.

“Jadi saya yakin sasaran untuk mencapai RM6 bilion sepanjang MAHA 2024 ini berlangsung akan tercapai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN