PETALING JAYA: Laman Agrofood Perikanan akan perkenal Galeri Akuakultur bagi mentransformasikan Galeri Ikan Hiasan setelah 10 tahun bagi menarik ramai pengunjung dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang.
Selain itu, laman Agrofood Perikanan juga mempamerkan kemajuan dan inovasi dalam sektor perikanan serta sebagai platform untuk mempelajari tentang teknologi terbaru, produk perikanan dan inisiatif kelestarian.
Menurut Jabatan Perikanan (DOF), Galeri Akuakultur akan mempamerkan pameran secara hidup dan model berkaitan industri akuakultur yang meliputi ternakan ikan air tawar, marin, ikan hiasan dan rumpai laut. Teknologi pembenihan dan ternakan juga akan
dipamerkan di dalam galeri ini.
Agrofood Perikanan juga akan menyediakan touch pool marin dan pelbagai permainan interaktif bagi menarik minat golongan muda dan kanak-kanak.
Pengunjung juga boleh mengabadikan kenangan di dalam galeri ini dengan bergambar secara 360 darjah,” katanya.
Terdahulu, MAHA 2024 yang bertemakan ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’ bagi meraikan 100 tahun penganjuran dijangka menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari berlangsung.
MAHA 2024 akan berlangsung pada 11 hingga 22 September ini dan dibuka pameran pada jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap pameran itu akan menjadi platform kepada orang ramai khususnya anak muda untuk meneroka potensi dan inovasi sektor pertanian, sekali gus memacu daya saing dalam membangunkan ekonomi.
Tambahnya, Galeri Dunia Santuari Ikan Sungai (DSIG) mengajak pengunjung untuk menjelajahi dunia ikan sungai dengan pelbagai pameran menarik.
Menurutnya, pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesies ikan air tawar tempatan, ikan asing yang ditemui di perairan negara serta koleksi spesimen ikan dengan lebih dekat.
“Pameran ini akan menawarkan pengalaman yang memukau dan juga menjadi medium untuk mendidik masyarakat berkenaan pengurusan sumber perikanan darat secara keseluruhannya.“
Antara ikan yang dibawa untuk pameran ini adalah 19 spesies ikan asli, lima spesies ikan betta dan enam spesies ikan asing betta yang terdapat di Malaysia serta pameran sampel kerjasama antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aquaria,” katanya. – UTUSAN