MAB kena ambil langkah tarik minat pekerja baharu isi kekosongan

MAB kena ambil langkah tarik minat pekerja baharu isi kekosongan

ANTHONY Loke mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara & Peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat-pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) harus mengambil langkah untuk menarik minat pekerja baharu bagi mengisi kekosongan tenaga kerja mahir yang telah meninggalkan syarikat tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam masa sama, MAB juga perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lain untuk memperhebat serta menawarkan pakej pekerjaan yang setimpal kepada kakitangan mereka.

“Langkah itu perlu diambil oleh syarikat penerbangan sebab itu adalah kakitangan mereka, sudah tentu mereka ada pelan mitigasi untuk mendapat penggantian kepada kakitangan teknikal tersebut.

“Dan kita di MOT perlu pantau, (manakala) CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) telah mewajibkan MAS (Malaysia Airlines) untuk menghantar laporan bulanan mereka.

“Cuma dalam perkara ini, syarikat penerbangan mesti mengambil langkah untuk memastikan mereka mampu mengekalkan dan menarik minat pekerja baharu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan Pelancaran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan tujuh penerbangan pesawat MAS mengalami masalah teknikal yang mana empat daripadanya berlaku pada Ogos lalu, dengan insiden terbaharu melibatkan penerbangan MH66 ke Incheon, Korea Selatan.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) pada pukul 12.01 tengah malam, sebelum berpatah balik dan selamat mendarat semula pada pukul 12.34 tengah malam.

Pada masa sama, Loke berkata, isu berkaitan pesawat MAS ketika ini turut dijadikan sebagai modal serangan oleh pembangkang yang mendakwa kononnya masalah tersebut berpunca daripada tindakan kerajaan membawa masuk syarikat asing.

“Ini adalah satu persaingan yang tidak boleh dielakkan. Pekerja (yang berhijrah) ini mendapat gaji tinggi, sudah tentu mereka mempunyai pilihan tawaran gaji. Tapi kalau dilihat dari konteks positif, ia menyediakan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Minggu lalu, Loke mendedahkan seramai 63 daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain sejak Januari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN